Wanita meninggal bersama bayi dalam kandungan selepas beberapa hospital menolaknya.
Seorang wanita dari Kampung Hobong, Papua, Indonesia, Irene Sokoy, meninggal dunia bersama bayi dalam kandungannya selepas ditolak oleh lima hospital ketika hendak bersalin.
Irene dibawa dengan bot laju ke RS Yowari sekitar jam 3 pagi, namun hospital itu enggan merawatnya kerana bayi didakwa terlalu besar dan memerlukan pembedahan. Dia kemudian dirujuk ke beberapa hospital lain termasuk RSUD Abepura, RS Dian Harapan dan RS Bhayangkara, tetapi semuanya tidak memberikan rawatan.
RS Bhayangkara meminta bayaran lapan juta rupiah bagi kos pembedahan, tetapi keluarga tidak mampu membayarnya. Akhirnya, ketika dibawa ke RSUD Jayapura, Irene disahkan meninggal dunia bersama bayinya sebelum sempat menerima rawatan.
Tragedi ini mendapat perhatian Timbalan Ketua Daerah Jayapura yang menyampaikan ucapan takziah dan berjanji memperbaiki mutu perkhidmatan di RSUD Yowari.
Gabenor Papua, Mathius Fakhiri pula meluahkan kemarahan atas insiden penolakan pesakit oleh hospital dan menegaskan bahawa semua fasiliti kesihatan di wilayah itu dilarang menolak pesakit, terutama kes kecemasan.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas, termasuk pemecatan, akan diambil terhadap mana-mana petugas atau hospital yang masih mengulangi kes seperti ini.
Sumber: BH Online

Comments
Post a Comment